Pengalaman Belajar Di IPIP

NoridahBasir

Pada mulanya, ketika ingin mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), saya agak keberatan sedikit sebab dengan mendaftar bermakna saya perlu mengimbangi masa antara pekerjaan dan pelajaran. Sebagai pekerja sepenuh masa, saya perlu membahagikan waktu kerja dan waktu belajar agar tidak memberi tekanan pada diri sendiri. Salah satu kebimbangan yang saya hadapi adalah masa/waktu. Contohnya, jangka masa untuk mengulang kaji, mengulas makalah yang diberi, persiapan untuk presenstasi dan selainnya; sama ada di pejabat mahupun di bilik darjah.

Pensyarah sebagai pendorong utama

Setelah melalui beberapa modul di IPIP, saya mendapati bahawa fleksibiliti dan kelonggaran yang diberikan semasa semester dan modul amat membantu diri saya. Misalnya, bagi setiap modul pensyarah akan membantu pelajar mengatasi cara bagaimana membuat penyelidikan buku, pelbagai kajian, menyediakan presentasi dan seumpamanya. Pensyarah akan terus membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi pelajar dalam memahami mata pelajaran tersebut. Pelajar juga diberi jangka masa yang cukup bagi setiap modul.

Minat meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana Muda

Pengajian saya di IPIP bermula dari peringkat Sijil Pengajian Islam (SPI) kemudian ke peringkat Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI) dan akhirnya tamat pengajian pada peringkat Diploma Pengajian Islam (DPI). Setelah mengikuti ketiga-tiga peringkat tersebut, semangat saya semakin bertambah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda. Dorongan dan motivasi yang saya terima daripada ahli keluarga, rakan-rakan seperjuangan dan ahli pentadbir amat membantu untuk saya meneruskan perjuangan ini.

Pembelajaran mengikut konteks dalam suasana yang interaktif

Perkara utama yang saya amat minati di IPIP adalah, setiap mata pelajaran dikaitkan dengan keadaan realiti pada zaman ini. Setiap modul diberi topik untuk bermusyawarah di antara pensyarah dan pelajar. Yang membuatnya lebih menarik adalah setiap individu mempunyai latar belakang dan pendapat yang berbeza. Kami, sebagai pelajar dapat kemukakan pelbagai isu (berkaitan dengan topik) yang dihadapi di tempat kerja, rakan sebaya dan lain-lainnya. Dengan mengadakan musyawarah sedemikian, ia memberi kita pemahaman yang lebih mendalam, kefahaman dari aspek yang berbeza dan membuka minda individu untuk menerima kesederhanaan di dalam agama Islam.

Ianya juga membantu kami untuk mengajar dengan menggunakan petua (tips) yang sama, iaitu mengaitkannya dengan realiti dan membuka minda pelajar kami. Setiap kajian yang dikaji mengikuti keadaan semasa dan konteks yang sepatutnya untuk mengelakkan berlakunya sebarang penyelewengan.

Tiga perkara yang terus mendorong diri saya untuk menamatkan pelajaran di peringkat DPI dan meneruskan ke peingkat Sarjana Muda ialah; pertama, membuat pelbagai kajian (berkaitan dengan realiti semasa) dan cara menghadapinya dengan keyakinan dan keadilan tanpa menghukum semata-mata. Kedua, meningkatkan disiplin diri untuk menjadi lebih berkelayakan. Dan ketiga adalah apabila melihat rakan-rakan seperjuangan meneruskan perjalanan menuntut ilmu. Kesedaran bahawa setiap perjalanan yang dilalui tidak begitu mudah dan adakalanya mencabar.

Status bekerja bukan penghalang

Justeru itu, berdasarkan pengalaman yang saya lalui, saya menyeru kepada mereka yang berada di luar sana agar mengambil peluang untuk mengikuti pengajian Islam di IPIP demi peningkatan ilmu. Walaupun saya menghadapi beberapa situasi sukar ketika melaksanakan pembelajaran saya dan juga ketika bekerja, Alhamdulillah, saya dapat mengatasinya dan tiada yang mustahil. Dengan izin Tuhan, saya dapat menamatkan pembelajaran peringkat DPI dan juga dapat meneruskan pembelajaran saya hingga peringkat Sarjana Muda.

IPIP memberi peluang bagi saya membuka pintu untuk meningkatkan prospek kerjaya saya, mengemas kini pengetahuan di dalam pelbagai hal ehwal keagamaan dan juga keadaan semasa.

Ibarat kata Sayidina Ali Ibn Talib “Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan.”

—–

Noridah Basir. Graduan Diploma Pengajian Islam. Bakal memulakan pengajian Sarjana Muda dalam bidang usuluddin di IPIP pada tahun 2019.