Buru Sijil Bahasa Arab Pada Usia 72 Tahun​

USIA lanjut tidak menghalang Cik Saidah Shariff, 72 tahun, untuk mempelajari bahasa Arab di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).

Cik Saidah, eksekutif bersekutu perkhidmatan pesakit, telah menyertai program Pengajian Bahasa Arab di IPIP pada awal tahun ini selepas beliau tamat program Diploma dalam Pengajian Islam di IPIP pada Disember lalu.

Sebelum ini, Cik Saidah telah mengikuti program Pengajian Islam di IPIP sejak 2014 daripada Program Takrif Islam, Sijil Pengajian Islam, Sijil Lanjutan Pengajian Islam dan Diploma Pengajian Islam.

“Selain berminat untuk terus menimba ilmu, saya juga terdorong hendak mempelajari bahasa Arab selepas mengalami satu peristiwa –  di mana saya kesal tidak dapat tolong seorang wanita yang meminta pertolongan saya, tetapi dia cakap dalam bahasa Arab dan saya tidak faham, satu ketika dahulu,” kata Cik Saidah.

Mengulas tentang pengalamannya mengikuti program Pengajian Bahasa Arab di IPIP, Cik Saidah berkata:

“Alhamdulillah, pensyarah yang mengajar memang baik. Di dalam kelas, kami berpeluang menulis dan bertutur dalam bahasa Arab dan kadang-kala, kami membuat tugasan secara berkumpulan. Ada juga penilaian di akhir peringkat pengajian bagi menguji pemahaman kami dalam bahasa Arab.”

Di rumah, Cik Saidah juga mendengar sebutan bahasa Arab melalui laman video, YouTube, supaya beliau dapat memahami bahasa Arab dengan lebih baik.  

“Saya sarankan masyarakat Islam mempelajari bahasa Arab kerana ia adalah bahasa Al-Quran kita. Apabila kita faham bahasa Arab, lebih senang kita faham apa yang kita baca di Al-Quran,” kata Cik Saidah.

Program Pengajian Bahasa Arab anjuran IPIP adalah pengajian yang akan memberi penekanan pada empat kemahiran iaitu pendengaran, pembacaan penulisan dan perbualan.

Program ini menawarkan tiga peringkat dari peringkat asas, pertengahan hingga ke peringkat lanjutan.

Setiap tempoh peringkat adalah selama sembilan bulan.

Kelas pengajian akan disampaikan dalam bahasa Melayu dan Arab.

Matlamat program ini adalah untuk membina khairah ummah melalui pengajian bahasa arab dan budayanya; mengajar bahasa Arab kepada masyarakat dari peringkat awal hingga peringkat lanjutan; dan memberi kemahiran bertutur, menulis, bercakap dan mendengar dalam bahasa Arab.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »