IPIP Lakukan Penyesuaian Bagi Cara Pembelajaran Sewaktu Arahan Pemutus Litar (CB)

Banyak pusat pengajian yang terjejas akibat arahan penutupan dalam tempoh Pemutus Litar (CB) termasuklah, Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).

Namun begitu, pihak IPIP sentiasa mencari jalan yang terbaik agar pembelajaran mampu diteruskan dengan menggunakan kaedah yang terbaik.

Ustazah Tan Nurul Hafidzah Binte Abdul Hadi, 32 tahun, yang memegang jawatan sebagai Pegawai Eksekutif Kanan IPIP menjelaskan bahawa IPIP sememangnya mempunyai perancangan awal untuk mengaplikasikan pembelajaran dalam talian.

“Dari awal Januari lagi, pihak IPIP sudah merencana untuk melaksanakan pembelajaran bersemuka dan pembelajaran secara dalam talian.”

 “Oleh itu, kami sudah mempunyai rangka untuk beralih kepada platform secara dalam talian dengan rujukan dan kajian tertentu.”

“Namun, kebetulan, arahan Pemutus Litar dikeluarkan dan kami perlu melancarkan pembelajaran dalam talian sepenuhnya.”

“Jadi, kami sudah pun mengaktifkan komuniti pembangunan e-learning yang terdiri daripada asatizah-asatizah separuh masa kami.”

“Dari situ, kami memberikan penerangan tentang jangkaan yang akan berlaku dalam suasana wabak COVID-19.”

“Walaupun masa untuk membangunkan pembelajaran dalam talian agak singkat, namun kita sudah mencuba untuk membantu apa yang termampu.”

“Cabaran untuk menyiapkan kandungan pembelajaran memakan banyak masa, tetapi ini mungkin menjadi latihan kepada pembelajaran e-learning untuk masa hadapan.” katanya.

Ustazah Sukarti Asmoin, 67 tahun, yang bekerja sebagai salah seorang daripada tenaga pengajar di IPIP berkata bahawa pembelajaran secara dalam talian adalah satu cabaran kerana para pengajar tidak dapat mengajar secara bersemuka.

“Dalam usia sebegini, saya tiada masalah untuk mendapatkan bahan pengajaran. Cuma, pembelajaran dalam talian agak mencabar kerana kita kurang kemahiran dalam bidang teknologi.”

“Walau bagaimanapun, kita harus bersikap terbuka kerana ia adalah satu-satunya cara untuk meneruskan pembelajaran.”

 “Walaupun saya kurang mahir menggunakan teknologi, tetapi saya tidak boleh malu untuk mempelajari sistem yang ada.”

“Membuat pembelajaran secara dalam talian agak memenatkan. Namun, kesungguhan para pegawai IPIP untuk membantu para guru yang bermasalah dari segi teknologi sangat dihargai.”

“Langkah yang ditunjukkan IPIP membuktikan bahawa mereka juga setanding dengan institusi lain dalam mengharungi sistem arus perdana yang canggih dengan kelengkapan terbaik,” ujar beliau.

Menurut salah seorang pelajar IPIP iaitu Cik Nuramalina Binte Muhammad, 34 tahun, beliau sangat bersyukur dengan kewujudan platform pendidikan IPIP dalam talian.

“Saya bekerja sebagai seorang guru dan saya juga harus menyediakan pembelajaran dari rumah (HBL) untuk murid- murid kami dengan menggunakan pelbagai platform teknologi.”

“Sewajarnya, IPIP melakukan perihal yang sama, Alhamdulillah, pengajian semester kami tidak terjejas.”

“Kelas pertama berlangsung seumpama seperti biasa. Ya, mungkin ada masalah kesukaran teknikal dari pihak astizah dan kami sebagai penuntut IPIP.”

“Di situlah, Allah beri kita banyak peluang untuk mempraktikkan pelajaran agama yang diajari dari pengajian di IPIP. Contohnya, sikap toleransi, tolong menolong, sentiasa mensyukuri dan husnuzon (bersangka baik) pada Allah. Itu nikmat yang besar.”

“Kami masih ada kerja rumah yang diberikan dan boleh dihantar kepada asatizah kami secara e-mel.”

“Kami masih diberikan tugasan pembentangan Powerpoint kepada rakan sekelas kami. Kami masih ada mempunyai oral presentasi dalam Bahasa Arab. Saya rasa tidak banyak perbezaan, cuma kami perlukan membiasakan diri sahaja.

“Ini merupakan semester terakhir saya, jadi saya sangat lega dan bersyukur pembelajaran diteruskan supaya saya dapat menamatkan pengajian Islam Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI). Oleh itu, saya boleh melanjutkan pelajaran program Sarjana di Kanada, selepas berakhirnya wabak COVID-19,” katanya penuh positif

Semoga inisiatif yang dilakukan oleh pihak IPIP akan berkekalan agar para pelajar boleh menuntut ilmu agama secara berterusan.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »