Selama 50 tahun yang lalu, Pergas telah mengadakan kelas-kelas pengajian Islam yang dikendali dengan Madrasah Mingguan Pergas (MMP) dari tahun 1987 sehingga kini. Kini nama MMP telah dinaik taraf kepada Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) pada tahun 2005.
Adalah merupakan cita-cita dan visi Pergas untuk melahirkan Khaira Ummah, yakni masyarakat Islam Contoh dan Cemerlang di Singapura ini, seperti yang dituntut oleh Allah di dalam surah Ali Imran ayat 110 iaitu supaya kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran serta beriman kepada Allah.
Tetapi Khaira Ummah tidak akan terbentuk tanpa memenuhi syarat-syarat yang dijelaskan Allah dalam surah Ali Imran dalam ayat 100-104 yang antaranya ialah masyarakat ini haruslah didirikan di atas dasar Iman dan Taqwa, Merasa Izzah kepada ajaran Islam, Ukhuwwah dan Perpaduan dan Amar M’aaruf dan Nahi Munkar.
Maka melahirkan Generasi Du’at (pendakwah) yang menegakkan Amar Ma’aruf dan Nahy Munkar adalah prasyarat pembentukan Khaira Ummah. Generasi Du’at ini pula tidak hanya didorong oleh semangat semata, tetapi di atas dasar Basirah dan Ilmu (Yusuf : 108) yang mendorong dan membekali amal mereka.