Peningkatan Pelajar Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR) - IPIP | Institut Pengajian Islam Pergas

Peningkatan Pelajar Sijil Pengajian Islam Remaja

Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) mendapat sambutan baik bagi Program Sijil Pengajian Islam Remaja yang telah dimulakan pada tahun ini.
Program Sijil Pengajian Islam Remaja bertujuan untuk mempelajari dan memahami pengajian agama seperti Tauhid, Fiqh, Tafsir, Hadis, Akhlak, Sirah, Tajwid dan al-Quran. Sukatan pelajaran pengajian ini setara dengan peringkat Sijil Pengajian Islam bagi memenuhi keperluan para penuntut remaja yang ingin mengikuti pengajian secara berstruktur. 

Bagi keberkesanan pembelajaran, program ini memuatkan pendekatan secara teori dan praktikal. Disampaikan dalam bahasa Melayu, program selama empat tahun ini terbuka untuk remaja berumur dari 13 hingga 15 tahun. Pengambilan dibuka pada bulan Januari dan Julai.
Program ini bertujuan untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan tentang ilmu pengajian agama secara berstruktur dan mengikut kesesuaiannya dalam konteks terkini. Ia juga mahu meningkatkan mutu bacaan al-Quran serta memperkukuh bacaan dalam solat dan mempraktikkan dan memahami kepentingan solat dalam kehidupan seharian.

Walaupun masih di tahun pertama, banyak peningkatan yang dilihat oleh ibu bapa yang menghantar anak remaja mereka.

Encik Muhammad Fazalee Jaafar, 48 tahun, bekerja sebagai presiden Mahkamah Syariah, yang menghantar anaknya ke program ini, memberitahu pihak IPIP dalam temubual untuk laman sesawang mereka, “Alhamdulillah. Ada peningkatan dari pengetahuan mereka dan penghafalan mereka dalam Al-Quran. Dan juga pemahaman mereka tentang beberapa surah-surah dalam Al-Quran. Perkara-perkara itu saya rasa pentinglah. Dalam pengajian agama kita perlu menghayatilah apa yang dipelajari.”

Perkara ini disetujui oleh Cik Rahmah Idris, yang turut ditemubual pihak IPIP, yang menghantar dua orang cucunya ke program ini.
Selain dari memahami surah-surah, Cik Rahmah menambah, “Dia punya tajwid, belajar mengaji, Alhamdulillah. Semua dah tahu panjang pendek. Dia tahu ini qalqalah. Ini hukum apa. Itu yang buat (saya) bersyukur banyak-banyak.”

Cucu-cucu Cik Rahmah, Adam Ashar Mujahid dan Mohd Haydar Genelo Mujahid turut seronok kerana dapat menghadiri program ini bersama memandangkan umur mereka 13 dan 14 tahun. Dalam temubual untuk Instagram IPIP, Mohd Haydar , berkongsi, “Ianya seronok kerana ada adik di dalam kelas seperti ada kawan. Boleh teman saya.” 

Adiknya, Adam Ashar pula, berkata “Ianya bermanfaat. Abang saya lebih tua (jadi) saya boleh minta pertolongan dia dalam kelas jika saya terlepas dalam perkara-perkara tentu atau bantu saya tahu buat kerja saya.”

Untuk program ini, penilaian akan dibuat dari masa ke semasa. Oleh itu, pelajar perlu konsisten di dalam menghadiri kelas untuk dinilai. Pelajar harus bersedia untuk segala bentuk penilaian yang ditetapkan oleh pihak IPIP. Penilaian akan merangkumi kuiz, tugasan dan ujian.
Bagi yang berminat boleh mendaftar di https://ipip.sg/borang-pendaftaran-sijil-pengajian-islam-remaja/.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »