
Peningkatan Pelajar Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR)
Walaupun masih di tahun pertama, banyak peningkatan yang dilihat oleh ibu bapa yang menghantar anak remaja mereka.
Ibu bapa boleh menjadi contoh kepada anak-anak dalam mengutamakan pendidikan agama Islam.
Demikian yang dilakukan Encik Qamarul Zaman, 52 tahun, pekerja perkhidmatan awam, dan isterinya, Cik Shikin Ali, 50 tahun, guru, yang turut mempelajari kursus Sijil Lanjutan Pengajian Islam di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) bersama tiga anak lelaki pertama mereka.
Encik Qamarul dan Cik Shikin mempunyai lima cahaya mata dan dua lagi anak mereka, 14 dan 11 tahun, kini belajar sepenuh masa di madrasah.
Menurut Encik Qamarul, beliau dan isterinya mengutamakan pendidikan agama buat anak-anak mereka sejak mereka kecil lagi.
Ketiga-tiga anak pertama mereka, Encik Luqman Al-Hakim, 25 tahun, Encik Lutfi Al-Hakim, 20 tahun dan Encik Danish Al-Hakim, 18 tahun, menyertai kelas madrasah hujung minggu peringkat darjah rendah dan menengah di Alumni Madrasah Aljunied Al-Islamiah (ALMAS), memandangkan mereka berada di sekolah sekular.
Tatkala anak-anak menghadiri kelas madrasah hujung minggu, Encik Qamarul dan isterinya turut menyertai kelas agama buat golongan dewasa di ALMAS.
Kini, pasangan ibu bapa itu berada di dalam kelas sama iaitu di tahun ketiga kursus Sijil Lanjutan Pengajian Islam dengan Encik Luqman dan Encik Lutfi di IPIP. Encik Danish pula berada di tahun pertama.
“Ia adalah tanggung jawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan ilmu agama. Sebagai orang Islam, kami mahu menunjukkan kepada anak-anak kami bahawa pembelajaran itu adalah sepanjang hayat. Kami mesti terus mencari ilmu kerana ada pelbagai perkara yang kami boleh pelajari.
“Apabila anak-anak berada dalam kelas yang sama dengan kami, mereka sedar bahawa ada banyak perkara yang mereka tidak ketahui tentang agama.
“Jadi, kami sebagai ibu bapa mahu membuka minda mereka kerana di dalam kelas IPIP, kami bukan setakat belajar tentang ibadat, tetapi juga tentang fiqh munakahat, fiqh muamalat, usul fiqh, mustalah hadis, dakwah Islamiah, tasawwuf, akhlak, bahasa Arab dan lain-lain lagi.
“Kami harap dengan ilmu ini, mereka dapat menggunanya di dalam kehidupan mereka, apalagi apabila mereka ada keluarga sendiri nanti,” kata Encik Qamarul.
Sebelum Encik Qamarul dan isterinya mendirikan rumah tangga, mereka masing-masing juga pernah belajar di kelas mingguan Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) selama sekitar lima tahun pada tahun 1990-an.
Beliau menambah bahawa ia penting sebagai ibu bapa untuk menerapkan ilmu agama dalam diri anak-anak dengan harapan agar mereka lebih beriman dan dijauhkan daripada pengaruh kurang baik di luar sana.
“Ibu bapa tidak boleh bersama anak-anak 24 jam. Jadi, dengan bekalan ilmu agama, sekurang-kurangnya mereka boleh membezakan antara yang baik dan kurang baik,” kongsi Encik Qamarul.
Selain daripada itu, pengajian lima beranak itu di IPIP telah mengeratkan hubungan mereka di samping membina peribadi mereka untuk menjadi Muslim yang lebih baik.
“Dakwah itu adalah tanggung jawab setiap umat Islam. Apabila kita ada ilmu, kita mesti amalkan ilmu itu dan kongsi perkara baik bersama ahli keluarga dan orang sekeliling kita. Tetapi, kita mesti selalu bersikap rendah diri dan jangan lah ‘pandai-pandai’ nak ajar orang,” kata Encik Qamarul.
(Sumber: Berita Harian, 15 November 2019)
Kongsi kisah ini:
Walaupun masih di tahun pertama, banyak peningkatan yang dilihat oleh ibu bapa yang menghantar anak remaja mereka.
Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.
Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.