Usia emas bukan penghalang raih ijazah sarjana Muda
Faktor umur bukanlah penghalang kepada Cik Farida binte Othman, 60 tahun, dan suaminya Encik Sumartono bin Rono Pawiro, 61 tahun, untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda hasil kerjasama antara Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).
Pada usia emas ini, mereka berdua menjadi contoh yang sangat baik bagi para pelajar yang ingin meningkatkan pencapaian diri, seterusnya menjadi insan yang bermanfaat untuk keluarga, masyarakat dan agama.
GEMBIRA TAMATKAN PENGAJIAN
Ketika ditemu bual, kedua-dua graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dengan Kepujian itu melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian mereka di IPIP.
Cik Farida binte Othman berkata: “Kami berdua mengambil masa selama 4 tahun setengah untuk menghabiskan tempoh pembelajaran yang bermula dari tahun 2017 hingga 2021.
“Saya sangat gembira, terharu dan berpuas hati atas pencapaian yang cukup bermakna dalam kehidupan ini. Sungguh tidak disangka, dalam umur yang telah lanjut sebegini, saya masih dapat merangkul segulung ijazah.”
PENGALAMAN YANG MENCABAR
Mengenang kembali cabaran yang dihadapi sepanjang menyambung pengajian, beliau berkata, salah satu cabaran ialah mereka perlu mengimbangi masa pekerjaan dan pembelajaran dengan baik.
Jelas beliau: “Perjalanan mencapai Ijazah Sarjana Muda pada peringkat usia ini, bukanlah perjalanan yang mudah. Penat itu sudah pasti ada kerana kami terikat dengan komitmen kerja dan rumah tangga.
“Oleh itu, kami perlu bijak mengimbangi waktu kerjaya dan pembelajaran. Kadang-kadang, kami terpaksa mengambil cuti kerja untuk memberi tumpuan terhadap tugasan dan ulang kaji peperiksaan.
“Walau bagaimanapun, segala penat lelah yang dicurahkan sangat berbaloi. Kami berdua sangat gembira kerana berjaya menyelesaikan pengajian ini dengan sempurna.
“Terima kasih kepada rakan-rakan sekelas yang selalu menolong, sekaligus membuatkan perjalanan yang sukar menjadi lebih mudah.”
BERSYUKUR JADI PELAJAR IPIP
Mengulas pengalaman belajar di IPIP, mereka berdua turut menyifatkan IPIP sebagai institusi terbaik untuk mendalami ilmu pengajian agama Islam.
Tambah Cik Farida, IPIP menawarkan program yang holistik dan merangkumi pelbagai modul yang menarik untuk dipelajari.
Kerjasama IPIP bersama universiti antarabangsa yang terkenal, IIUM, juga sudah cukup membuktikan kredibiliti IPIP sebagai pusat pendidikan tinggi Islam yang berkualiti di Singapura.
“Kami bersyukur kerana dikurniakan peluang untuk mempelajari program islamik seperti ini di Singapura. Dengan penyediaan program tersebut, maka kami tidak perlu lagi ke luar negara. Malah, tiada halangan untuk kami bekerja sambil belajar.
“Oleh itu, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IPIP kerana menganjurkan program bermanfaat seperti ini kepada masyarakat Islam Singapura.”
- Program Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam menawarkan pendekatan perbandingan dalam pengajian warisan Islam, pemikiran dan agama lain berdasarkan Usul al-Din. Ia memenuhi visi untuk mempromosikan sains Islam yang relevan dengan disiplin pengajian kontemporari.
- Untuk maklumat lanjut, sila layari https://ipip.sg/program/pengajian-islam/bachelor/
Kongsi kisah ini:
Baca kisah-kisah berikut
Peningkatan Pelajar Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR)
Walaupun masih di tahun pertama, banyak peningkatan yang dilihat oleh ibu bapa yang menghantar anak remaja mereka.
Pertingkat pengajian ukhrawi bersama IPIP
Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.
Pengajian Islam dapat permintaan tinggi
Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.