Peningkatan Pelajar Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR)

Institut Pengajian Islam Pergas

Peningkatan Pelajar Sijil Pengajian Islam Remaja

Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) mendapat sambutan baik bagi Program Sijil Pengajian Islam Remaja yang telah dimulakan pada tahun ini.
Program Sijil Pengajian Islam Remaja bertujuan untuk mempelajari dan memahami pengajian agama seperti Tauhid, Fiqh, Tafsir, Hadis, Akhlak, Sirah, Tajwid dan al-Quran. Sukatan pelajaran pengajian ini setara dengan peringkat Sijil Pengajian Islam bagi memenuhi keperluan para penuntut remaja yang ingin mengikuti pengajian secara berstruktur. 

Bagi keberkesanan pembelajaran, program ini memuatkan pendekatan secara teori dan praktikal. Disampaikan dalam bahasa Melayu, program selama empat tahun ini terbuka untuk remaja berumur dari 13 hingga 15 tahun. Pengambilan dibuka pada bulan Januari dan Julai.
Program ini bertujuan untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan tentang ilmu pengajian agama secara berstruktur dan mengikut kesesuaiannya dalam konteks terkini. Ia juga mahu meningkatkan mutu bacaan al-Quran serta memperkukuh bacaan dalam solat dan mempraktikkan dan memahami kepentingan solat dalam kehidupan seharian.

Walaupun masih di tahun pertama, banyak peningkatan yang dilihat oleh ibu bapa yang menghantar anak remaja mereka.

Encik Muhammad Fazalee Jaafar, 48 tahun, bekerja sebagai presiden Mahkamah Syariah, yang menghantar anaknya ke program ini, memberitahu pihak IPIP dalam temubual untuk laman sesawang mereka, “Alhamdulillah. Ada peningkatan dari pengetahuan mereka dan penghafalan mereka dalam Al-Quran. Dan juga pemahaman mereka tentang beberapa surah-surah dalam Al-Quran. Perkara-perkara itu saya rasa pentinglah. Dalam pengajian agama kita perlu menghayatilah apa yang dipelajari.”

Perkara ini disetujui oleh Cik Rahmah Idris, yang turut ditemubual pihak IPIP, yang menghantar dua orang cucunya ke program ini.
Selain dari memahami surah-surah, Cik Rahmah menambah, “Dia punya tajwid, belajar mengaji, Alhamdulillah. Semua dah tahu panjang pendek. Dia tahu ini qalqalah. Ini hukum apa. Itu yang buat (saya) bersyukur banyak-banyak.”

Cucu-cucu Cik Rahmah, Adam Ashar Mujahid dan Mohd Haydar Genelo Mujahid turut seronok kerana dapat menghadiri program ini bersama memandangkan umur mereka 13 dan 14 tahun. Dalam temubual untuk Instagram IPIP, Mohd Haydar , berkongsi, “Ianya seronok kerana ada adik di dalam kelas seperti ada kawan. Boleh teman saya.” 

Adiknya, Adam Ashar pula, berkata “Ianya bermanfaat. Abang saya lebih tua (jadi) saya boleh minta pertolongan dia dalam kelas jika saya terlepas dalam perkara-perkara tentu atau bantu saya tahu buat kerja saya.”

Untuk program ini, penilaian akan dibuat dari masa ke semasa. Oleh itu, pelajar perlu konsisten di dalam menghadiri kelas untuk dinilai. Pelajar harus bersedia untuk segala bentuk penilaian yang ditetapkan oleh pihak IPIP. Penilaian akan merangkumi kuiz, tugasan dan ujian.
Bagi yang berminat boleh mendaftar di https://ipip.sg/borang-pendaftaran-sijil-pengajian-islam-remaja/.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Pertingkat pengajian ukhrawi bersama IPIP

Institut Pengajian Islam Pergas

Pertingkat pengajian ukhrawi bersama IPIP

Cik Rachmawati Lestari, 52 tahun, pernah menganggap dirinya sudah tidak begitu muda lagi semasa beliau menimbangkan untuk melanjutkan kuliah dalam pengajian Islam sekitar lima tahun lalu.

Bagaimanapun, ibu dua orang anak ini, Wafi, anak lelaki berusia 24 tahun, dan Alifa, anak perempuan berusia 20 tahun, meneruskan juga hasratnya setelah memikirkan bahawa sebelumnya beliau hanya mendapat pendidikan sekular dan telah belajar agama semasa di sekolah rendah sahaja.

‘‘Apa yang mendorong saya ialah seorang ustaz yang pernah mengatakan bahawa ramai daripada kita belajar ilmu dunia ke tahap sangat tinggi, tetapi bagaimana dengan ilmu agama untuk akhirat? Di sinilah saya berfikir bahawa ilmu pengetahuan agama saya sangat kurang, maka saya perlu menimba ilmu untuk bekalan akhirat,’’ kata Cik Rachmawati.

Suaminya, Encik Rachmat Novaruka, juga 52 tahun, seorang pengurus projek, pun berfikiran serupa dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan agama juga. Mereka berdua berasal dari Indonesia, tetapi sudah menjadi warga Singapura.

Kedua-duanya kemudian sepakat memilih Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) untuk menambah ilmu pengetahuan agama, namun kini belajar di kelas berasingan.

Menurut Cik Rachmawati, mereka memilih IPIP kerana beberapa sebab seperti ia mempunyai platform pengajian untuk semua peringkat usia, pengajiannya lebih mendalam dari asas hingga ke peringkat lanjutan, dan program yang disediakan berstruktur.

Menyingkap lagi kebimbangannya semasa baru mengikuti pengajian di IPIP, Cik Rachmawati berkata:

‘‘Benar, memang ada kebimbangan, apakah saya boleh mengikuti sekolah dan komited untuk melanjutkan pelajaran sampai selesai. Jika melihat rakan sekelas, kebanyakan mereka masih muda, seumur dengan anak-anak saya. Waktu belajar juga jatuh pada hari Ahad iaitu hari rehat saya pada waktu itu. Tetapi kerana ada keinginan kuat untuk belajar agama, saya teruskan.’’

Namun, beliau dapat membuat penyesuaian dengan memastikan masanya diatur dengan baik, beliau dapat terus menghadiri kelas secara fizikal dan ‘online’ dan membuat persiapan untuk ujian.

Cik Rachmawati mengikuti Program Takrif Islam di IPIP, kemudian Sijil Pengajian Islam dan kini kursus Sijil Lanjutan Pengajian Islam. Modul-modul yang diajar termasuk Pengetahuan Syariah, Fiqh, Sejarah Peradaban Islam, Dasar Bahasa Arab, Usuluddin, Bacaan Al-Quran dan Hafalan Surah.

Beliau juga bersyukur dengan sokongan dan bimbingan asatizah IPIP di dalam kelas, membuat beliau tidak pernah putus asa, katanya, yang bekerja dalam bidang hospitaliti.

Mengenai belajar pada usia lanjut, beliau menerangkan lagi: ‘‘Tidak ada halangan bagi saya kerana menuntut ilmu itu wajib untuk semua Muslim.

Pengajian di IPIP ini juga sesuai bagi mereka yang sudah meningkat usia. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan dan Allah akan mempermudah segala-galanya.’’

Beliau kini ingin melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Pengajian Islam (DPI) pula. Mengenai cita-citanya, Cik Rachmawati berkata:

‘‘Saya ingin menjadi Muslimah yang lebih baik di dunia dan juga akhirat, beribadah bukan berlandaskan ikut-ikutan, tetapi belajar agar saya tidak buta ilmu dan ini memberikan contoh yang baik bukan hanya untuk diri sendiri dan keluarga saya, malah bermanfaat juga untuk orang lain.’’

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Institut Pengajian Islam Pergas

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Salah seorang pelajarnya, Cik Saidah Shariff, 72 tahun, sangat bersyukur atas peluang untuk menyambung pengajian Islam di IPIP.

“Sebelum ini, saya hanya memperolehi pendidikan agama secara tidak formal melalui kuliah di masjid-masjid sahaja. Tetapi, saya berhasrat untuk mendalami pendidikan agama secara rasmi.

“Alhamdulillah, saya berjaya tamatkan pengajian bermula dari peringkat Program Takrif Islam (PTI), Sijil Pengajian Islam (SPI), Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI) sehingga Diploma Pengajian Islam (DPI).

 

“Sekarang ini pula, saya sedang mengikuti kelas pengajian bahasa Arab di IPIP demi meraih ilmu pengetahuan agama yang sangat berharga. Syukur atas segala peluang yang saya perolehi.”

BUKA MINDA LEBIH MATANG

 

Selain itu, modul pengajian IPIP turut dipuji kerana banyak membuka minda pelajar ke arah pembentukan individu lebih matang dari segi ilmu dan akhlaknya.

Modul pengajian ini telah menerima respons positif oleh Cik Nurul Nabilah Atika Mohamad Reezal, 22 tahun, salah seorang pelajar yang sedang berada dalam fasa pengajian Diploma Pengajian Islam (DPI) di IPIP.

Beliau yang juga bekerja dalam bidang pemasaran e-dagang itu memberitahu:

“Pembelajaran di IPIP banyak mengajar saya tentang cara menyesuaikan diri dan bagaimana harus mengaplikasikan ilmu itu dalam masyarakat Islam Singapura.

“Pada masa yang sama, asatizah di sini juga tidak hanya mementingkan ilmu agama, tetapi mereka turut menekankan kepentingan ilmu duniawi bagi melahirkan pelajar yang berkualiti, beradab, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Waktu pengajian IPIP juga sangat sesuai untuk mereka yang terikat dengan komitmen kelas aliran akademik atau pekerjaan harian kerana kelas IPIP hanya dilakukan pada hujung minggu sahaja.

“Tambahan pula, terdapat sesetengah pembelajaran dilakukan secara online dan ia memberi peluang kepada para pelajar untuk menguruskan masa pembelajaran dengan lebih baik.

Ketika ditanya tentang pandangan mereka terhadap program belia terbaru (Program Pengajian Islam Remaja) di IPIP, kedua-dua pelajar tersebut memberi galakan penuh kepada para belia di luar sana untuk menyertai program yang bakal bermula pada Januari 2023 itu.

INTERAKSI DENGAN DUNIA LUAR

Cik Nurul Nabilah berkata: “Hanya ketika berumur 19 tahun, baru saya mula melibatkan diri dengan program asas IPIP iaitu Program Takrif Islam (PTI).

“Tetapi sekarang ini, para belia yang berusia 16 tahun ke atas sudah layak menyertai Program Pengajian Islam Remaja IPIP.

“Saya anggap perubahan ini sebagai satu usaha yang baik kerana Pergas membuka ruang kepada lebih ramai anak muda mendekatkan diri dengan program pendidikan agama pada peringkat yang lebih awal.

“Remaja memerlukan ilmu agama untuk membaiki diri dan berinteraksi dengan dunia luar.

“Oleh itu, selayaknya anak muda menyertai program-program seperti ini di usia kritikal untuk membangunkan ummah yang lebih kuat rohani dan akhlaknya.”

Cik Saidah pula turut menggalakkan penyertaan belia di program di IPIP kerana ia menyediakan tenaga pengajar yang hebat dan berpengalaman.

“Setiap tugasan yang diberi sentiasa mendapat bimbingan daripada para asatizah dan ahli kumpulan.

“Oleh itu, seseorang yang baru hendak belajar agama tidak akan berasa rendah diri kerana semua orang di sini saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.

“Ambillah peluang yang diberikan oleh IPIP untuk meningkatkan prestasi diri dalam kehidupan.

“Pendidikan akademik adalah penting dan pendidikan agama juga tidak kurang pentingnya. Justeru, para pelajar perlu bijak mengimbangi waktu bagi meningkatkan prestasi dalam kedua-dua cabang ilmu.

“Semoga masyarakat Islam di Singapura akan menjadi masyarakat yang cemerlang dan memperoleh ilmu bermanfaat untuk diri, keluarga dan agama,” jelas beliau lagi.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Usia emas bukan penghalang raih ijazah sarjana muda

Usia emas bukan penghalang raih ijazah sarjana Muda

Faktor umur bukanlah penghalang kepada Cik Farida binte Othman, 60 tahun, dan suaminya Encik Sumartono bin Rono Pawiro, 61 tahun, untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda hasil kerjasama antara Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

Pada usia emas ini, mereka berdua menjadi contoh yang sangat baik bagi para pelajar yang ingin meningkatkan pencapaian diri, seterusnya menjadi insan yang bermanfaat untuk keluarga, masyarakat dan agama.

GEMBIRA TAMATKAN PENGAJIAN

Ketika ditemu bual, kedua-dua graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dengan Kepujian itu melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian mereka di IPIP.

Cik Farida binte Othman berkata: “Kami berdua mengambil masa selama 4 tahun setengah untuk menghabiskan tempoh pembelajaran yang bermula dari tahun 2017 hingga 2021.

“Saya sangat gembira, terharu dan berpuas hati atas pencapaian yang cukup bermakna dalam kehidupan ini. Sungguh tidak disangka, dalam umur yang telah lanjut sebegini, saya masih dapat merangkul segulung ijazah.”

PENGALAMAN YANG MENCABAR

Mengenang kembali cabaran yang dihadapi sepanjang menyambung pengajian, beliau berkata, salah satu cabaran ialah mereka perlu mengimbangi masa pekerjaan dan pembelajaran dengan baik.  

Jelas beliau: “Perjalanan mencapai Ijazah Sarjana Muda pada peringkat usia ini, bukanlah perjalanan yang mudah. Penat itu sudah pasti ada kerana kami terikat dengan komitmen kerja dan rumah tangga.

“Oleh itu, kami perlu bijak mengimbangi waktu kerjaya dan pembelajaran. Kadang-kadang, kami terpaksa mengambil cuti kerja untuk memberi tumpuan terhadap tugasan dan ulang kaji peperiksaan.

“Walau bagaimanapun, segala penat lelah yang dicurahkan sangat berbaloi. Kami berdua sangat gembira kerana berjaya menyelesaikan pengajian ini dengan sempurna.

“Terima kasih kepada rakan-rakan sekelas yang selalu menolong, sekaligus membuatkan perjalanan yang sukar menjadi lebih mudah.”

BERSYUKUR JADI PELAJAR IPIP 

Mengulas pengalaman belajar di IPIP, mereka berdua turut menyifatkan IPIP sebagai institusi terbaik untuk mendalami ilmu pengajian agama Islam.

Tambah Cik Farida, IPIP menawarkan program yang holistik dan merangkumi pelbagai modul yang menarik untuk dipelajari.

Kerjasama IPIP bersama universiti antarabangsa yang terkenal, IIUM, juga sudah cukup membuktikan kredibiliti IPIP sebagai pusat pendidikan tinggi Islam yang berkualiti di Singapura.

“Kami bersyukur kerana dikurniakan peluang untuk mempelajari program islamik seperti ini di Singapura. Dengan penyediaan program tersebut, maka kami tidak perlu lagi ke luar negara. Malah, tiada halangan untuk kami bekerja sambil belajar.

“Oleh itu, kami  ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IPIP kerana menganjurkan program bermanfaat seperti ini kepada masyarakat Islam Singapura.”

  • Program Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam menawarkan pendekatan perbandingan dalam pengajian warisan Islam, pemikiran dan agama lain berdasarkan Usul al-Din. Ia memenuhi visi untuk mempromosikan sains Islam yang relevan dengan disiplin pengajian kontemporari.
  • Untuk maklumat lanjut, sila layari https://ipip.sg/program/pengajian-islam/bachelor/

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »

Buru Sijil Bahasa Arab Pada Usia 72 Tahun​​

Buru Sijil Bahasa Arab Pada Usia 72 Tahun​

USIA lanjut tidak menghalang Cik Saidah Shariff, 72 tahun, untuk mempelajari bahasa Arab di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).

Cik Saidah, eksekutif bersekutu perkhidmatan pesakit, telah menyertai program Pengajian Bahasa Arab di IPIP pada awal tahun ini selepas beliau tamat program Diploma dalam Pengajian Islam di IPIP pada Disember lalu.

Sebelum ini, Cik Saidah telah mengikuti program Pengajian Islam di IPIP sejak 2014 daripada Program Takrif Islam, Sijil Pengajian Islam, Sijil Lanjutan Pengajian Islam dan Diploma Pengajian Islam.

“Selain berminat untuk terus menimba ilmu, saya juga terdorong hendak mempelajari bahasa Arab selepas mengalami satu peristiwa –  di mana saya kesal tidak dapat tolong seorang wanita yang meminta pertolongan saya, tetapi dia cakap dalam bahasa Arab dan saya tidak faham, satu ketika dahulu,” kata Cik Saidah.

Mengulas tentang pengalamannya mengikuti program Pengajian Bahasa Arab di IPIP, Cik Saidah berkata:

“Alhamdulillah, pensyarah yang mengajar memang baik. Di dalam kelas, kami berpeluang menulis dan bertutur dalam bahasa Arab dan kadang-kala, kami membuat tugasan secara berkumpulan. Ada juga penilaian di akhir peringkat pengajian bagi menguji pemahaman kami dalam bahasa Arab.”

Di rumah, Cik Saidah juga mendengar sebutan bahasa Arab melalui laman video, YouTube, supaya beliau dapat memahami bahasa Arab dengan lebih baik.  

“Saya sarankan masyarakat Islam mempelajari bahasa Arab kerana ia adalah bahasa Al-Quran kita. Apabila kita faham bahasa Arab, lebih senang kita faham apa yang kita baca di Al-Quran,” kata Cik Saidah.

Program Pengajian Bahasa Arab anjuran IPIP adalah pengajian yang akan memberi penekanan pada empat kemahiran iaitu pendengaran, pembacaan penulisan dan perbualan.

Program ini menawarkan tiga peringkat dari peringkat asas, pertengahan hingga ke peringkat lanjutan.

Setiap tempoh peringkat adalah selama sembilan bulan.

Kelas pengajian akan disampaikan dalam bahasa Melayu dan Arab.

Matlamat program ini adalah untuk membina khairah ummah melalui pengajian bahasa arab dan budayanya; mengajar bahasa Arab kepada masyarakat dari peringkat awal hingga peringkat lanjutan; dan memberi kemahiran bertutur, menulis, bercakap dan mendengar dalam bahasa Arab.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut

Institut Pengajian Islam Pergas
Testimoni

Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Baca Lebih Lanjut »