Pengajian Islam dapat permintaan tinggi

Pendidikan Islam berstruktur yang disediakan oleh Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), mendapat permintaan yang tinggi daripada para pelajar yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agama Islam, tanpa mengira usia mereka.

Salah seorang pelajarnya, Cik Saidah Shariff, 72 tahun, sangat bersyukur atas peluang untuk menyambung pengajian Islam di IPIP.

“Sebelum ini, saya hanya memperolehi pendidikan agama secara tidak formal melalui kuliah di masjid-masjid sahaja. Tetapi, saya berhasrat untuk mendalami pendidikan agama secara rasmi.

“Alhamdulillah, saya berjaya tamatkan pengajian bermula dari peringkat Program Takrif Islam (PTI), Sijil Pengajian Islam (SPI), Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI) sehingga Diploma Pengajian Islam (DPI).

 

“Sekarang ini pula, saya sedang mengikuti kelas pengajian bahasa Arab di IPIP demi meraih ilmu pengetahuan agama yang sangat berharga. Syukur atas segala peluang yang saya perolehi.”

BUKA MINDA LEBIH MATANG

 

Selain itu, modul pengajian IPIP turut dipuji kerana banyak membuka minda pelajar ke arah pembentukan individu lebih matang dari segi ilmu dan akhlaknya.

Modul pengajian ini telah menerima respons positif oleh Cik Nurul Nabilah Atika Mohamad Reezal, 22 tahun, salah seorang pelajar yang sedang berada dalam fasa pengajian Diploma Pengajian Islam (DPI) di IPIP.

Beliau yang juga bekerja dalam bidang pemasaran e-dagang itu memberitahu:

“Pembelajaran di IPIP banyak mengajar saya tentang cara menyesuaikan diri dan bagaimana harus mengaplikasikan ilmu itu dalam masyarakat Islam Singapura.

“Pada masa yang sama, asatizah di sini juga tidak hanya mementingkan ilmu agama, tetapi mereka turut menekankan kepentingan ilmu duniawi bagi melahirkan pelajar yang berkualiti, beradab, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Waktu pengajian IPIP juga sangat sesuai untuk mereka yang terikat dengan komitmen kelas aliran akademik atau pekerjaan harian kerana kelas IPIP hanya dilakukan pada hujung minggu sahaja.

“Tambahan pula, terdapat sesetengah pembelajaran dilakukan secara online dan ia memberi peluang kepada para pelajar untuk menguruskan masa pembelajaran dengan lebih baik.

Ketika ditanya tentang pandangan mereka terhadap program belia terbaru (Program Pengajian Islam Remaja) di IPIP, kedua-dua pelajar tersebut memberi galakan penuh kepada para belia di luar sana untuk menyertai program yang bakal bermula pada Januari 2023 itu.

INTERAKSI DENGAN DUNIA LUAR

Cik Nurul Nabilah berkata: “Hanya ketika berumur 19 tahun, baru saya mula melibatkan diri dengan program asas IPIP iaitu Program Takrif Islam (PTI).

“Tetapi sekarang ini, para belia yang berusia 16 tahun ke atas sudah layak menyertai Program Pengajian Islam Remaja IPIP.

“Saya anggap perubahan ini sebagai satu usaha yang baik kerana Pergas membuka ruang kepada lebih ramai anak muda mendekatkan diri dengan program pendidikan agama pada peringkat yang lebih awal.

“Remaja memerlukan ilmu agama untuk membaiki diri dan berinteraksi dengan dunia luar.

“Oleh itu, selayaknya anak muda menyertai program-program seperti ini di usia kritikal untuk membangunkan ummah yang lebih kuat rohani dan akhlaknya.”

Cik Saidah pula turut menggalakkan penyertaan belia di program di IPIP kerana ia menyediakan tenaga pengajar yang hebat dan berpengalaman.

“Setiap tugasan yang diberi sentiasa mendapat bimbingan daripada para asatizah dan ahli kumpulan.

“Oleh itu, seseorang yang baru hendak belajar agama tidak akan berasa rendah diri kerana semua orang di sini saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.

“Ambillah peluang yang diberikan oleh IPIP untuk meningkatkan prestasi diri dalam kehidupan.

“Pendidikan akademik adalah penting dan pendidikan agama juga tidak kurang pentingnya. Justeru, para pelajar perlu bijak mengimbangi waktu bagi meningkatkan prestasi dalam kedua-dua cabang ilmu.

“Semoga masyarakat Islam di Singapura akan menjadi masyarakat yang cemerlang dan memperoleh ilmu bermanfaat untuk diri, keluarga dan agama,” jelas beliau lagi.

Kongsi kisah ini:

Baca kisah-kisah berikut